Termenung aku sendiri memikirkan nasib dunia kini. Mungkin aku
hanya insan biasa yang bergelar manusia. Namun aku yakin aku bukan seperti
mereka. Mereka yang terlupa akan kuasa-Nya. Mereka yang kejam sesama manusia.
Mereka yang hatinya telah buta. Mereka yang lupa nikmat yang Esa. Mereka yang
senang melihat orang lain terseksa. Atau mereka tenggelam dalam mainan dunia.
Ya! Aku masih mampu membezakan baik buruk perlakuan walau aku insan tak
sempurna. Hatiku tertanya. Merdekakah kita? Jika YA, mana buktinya? Mungkin
negara kita telah mencapai kemerdekaan pada 1957 dahulu. Tapi tidak bagi kita.
Kita masih dijajah oleh perasaan yang mengikut nafsu itu. Saban hari, ada saja
berita di dada akhbar yang merobek hati menyentap jiwa. Tidak keterlaluan untuk
aku katakan bahawa dunia ini tidak selamat. Dunia kini terancam oleh kekejaman
penghuninya sendiri. Penghuni yang tersasar dari matlamat hidup sebenar. Yang
sedihnya, penghuni itu bergelar manusia. Manusia yang punya akal sebagai
perbandingan antara haiwan. Tidak tercapai akal ini memikirkan bagaimana
seorang anak sanggup menetak mati mak ayah yang telah banyak berjasa dalam
membesarkan si anak? Bagaimana tergamak seorang bapa sanggup merogol anak yang
menjadi tanggungjawab si bapa menjaga kebajikan anak tersebut? Bagaimana
seorang manusia tergamak menyimbah asid pada manusia lain demi memuaskan hati
mereka? Terfikirkah mereka akan hati dan perasaan bayi yang mereka buang di
tong-tong sampah? Berdosakah bayi tersebut? Kenapa anak yang tak berdosa itu
menjadi mangsa di atas perbuatan ayah dan ibunya? Tidak layakkah mereka merasa
sedikit kebahagian di dunia ini? Dan pelbagai lagi rencah kezaliman manusia di
bumi ini bermain di fikiran. Dimanakah silapnya? Mengapa itu semua berlaku di
dalam dunia moden yang makin rancak membangun kini? Adakah silap ibu bapa yang
kurang memberi didikan kepada si anak? Apakah yang mengaburi mata pesalah
sehingga sanggup melakukan hal sedemikian? Sedarkan mereka bahawa ia
menyebabkan penderitaan ke atas kehidupan manusia lain? Merdekakah kita dengan
adanya gejala tersebut? Renung-renungkan dan selamat beramal, dengan pesanan, ‘Jangan
salahkan ibu mengandung, tapi salahkan badan yang tak tahu diuntung.’
No comments:
Post a Comment