search

Thursday 8 September 2011

~Merdekakah kita~


Termenung aku sendiri memikirkan nasib dunia kini. Mungkin aku hanya insan biasa yang bergelar manusia. Namun aku yakin aku bukan seperti mereka. Mereka yang terlupa akan kuasa-Nya. Mereka yang kejam sesama manusia. Mereka yang hatinya telah buta. Mereka yang lupa nikmat yang Esa. Mereka yang senang melihat orang lain terseksa. Atau mereka tenggelam dalam mainan dunia. Ya! Aku masih mampu membezakan baik buruk perlakuan walau aku insan tak sempurna. Hatiku tertanya. Merdekakah kita? Jika YA, mana buktinya? Mungkin negara kita telah mencapai kemerdekaan pada 1957 dahulu. Tapi tidak bagi kita. Kita masih dijajah oleh perasaan yang mengikut nafsu itu. Saban hari, ada saja berita di dada akhbar yang merobek hati menyentap jiwa. Tidak keterlaluan untuk aku katakan bahawa dunia ini tidak selamat. Dunia kini terancam oleh kekejaman penghuninya sendiri. Penghuni yang tersasar dari matlamat hidup sebenar. Yang sedihnya, penghuni itu bergelar manusia. Manusia yang punya akal sebagai perbandingan antara haiwan. Tidak tercapai akal ini memikirkan bagaimana seorang anak sanggup menetak mati mak ayah yang telah banyak berjasa dalam membesarkan si anak? Bagaimana tergamak seorang bapa sanggup merogol anak yang menjadi tanggungjawab si bapa menjaga kebajikan anak tersebut? Bagaimana seorang manusia tergamak menyimbah asid pada manusia lain demi memuaskan hati mereka? Terfikirkah mereka akan hati dan perasaan bayi yang mereka buang di tong-tong sampah? Berdosakah bayi tersebut? Kenapa anak yang tak berdosa itu menjadi mangsa di atas perbuatan ayah dan ibunya? Tidak layakkah mereka merasa sedikit kebahagian di dunia ini? Dan pelbagai lagi rencah kezaliman manusia di bumi ini bermain di fikiran. Dimanakah silapnya? Mengapa itu semua berlaku di dalam dunia moden yang makin rancak membangun kini? Adakah silap ibu bapa yang kurang memberi didikan kepada si anak? Apakah yang mengaburi mata pesalah sehingga sanggup melakukan hal sedemikian? Sedarkan mereka bahawa ia menyebabkan penderitaan ke atas kehidupan manusia lain? Merdekakah kita dengan adanya gejala tersebut? Renung-renungkan dan selamat beramal, dengan pesanan, ‘Jangan salahkan ibu mengandung, tapi salahkan badan yang tak tahu diuntung.’

No comments:

Post a Comment