search

Thursday 18 August 2011

~Begitukah Takdirnya~ ::part 1::


Aku Azlan. Ini kisah hidupku. Pelbagai peristiwa yang aku lalui sejak 25 tahun aku mengenali dunia yang fana ini. Peristiwa yang membuat aku sedar akan erti sebuah kehidupan. Kehidupan yang penuh suka duka. Kehidupan yang mengajar aku erti terus asa. Juga kehidupan yang kadang kala menggoyahkan iman dan takwa manusia seperti aku. Walau seteruk mana pun kehidupan itu, andai yang di atas sana belum menghantar malaikat izrail menarik nyawaku, maka kehidupan itu harus diteruskan. Walau seindah mana pun perjalanan kehidupan itu, andai Dia ingin menguji hamba-Nya, siapa aku untuk melawan takdir yang Esa.
Kampung Permai Indah. Itulah kampung halaman aku. Seperti nama kampung itu, seperti itu jugalah kehidupan empat beranak yang menghuni sebuah rumah yang dibina atas titik peluh ayahku, En Akmal sebagai pemandu teksi dan ibuku, Pn. Hasnah sebagai peniaga kecil-kecilan. Aku mempunyai seorang adik perempuan, Nurul Aziela yang tujuh tahun beza umur antara kami. Kehidupan kami sangat bahagia walaupun tanpa kemewahan yang melimpah ruah seperti orang-orang kaya di luar sana. Cahaya kebahagian sentiasa memenuhi ruang rumah kami. Kasih sayang yang dicurahkan ayah dan ibu sudah cukup untuk aku dan adik berasa seperti anak raja. Aku sentiasa mendoakan agar kebahagian yang aku kecapi itu kekal buat selama-lamanya.
Namun, disangkakan mendung hingga ke petang, rupanya kilat sabung menyabung. Kehidupan kami diuji hari demi hari. Tahun 2001, tahun yang melakarkan bibit-bibit duka dalam keluargaku. Ketika itu, usiaku 15tahun. Kata orang, usia remaja itulah usia yang sangat mencabar. Usia untuk anak muda seperti aku mencari identiti diri. Kalau putih jalan yang kupilih, maka cerahlah masa depanku. Andai jalan hitam yang menjadi pilihanku, maka gelaplah hari mendatangku. Peristiwa 10tahun lalu tidak mungkin aku lupakan walaupun ia lah yang menjadi titik noda dalam kehidupan yang maha hebat ini.
Pagi itu, ayah menghantar aku dan adik ke sekolah seperti biasa. Masihku ingat akan naluri hati aku yang bagai tidak kena sahaja pagi itu. Apa saja yang aku lakukan di sekolah semuanya tidak menjadi. Entah kenapa aku amat rindukan ibu dirumah. Perasaan itu jarang sekali wujud di hatiku kerana aku tidak pernah berpisah dengan ibu. Aku amat menyayangi ibu. Antara aku dan adik, aku paling rapat dengan ibu. Segala permasalahan aku, aku curahkan pada ibu.

‘Pengumuman ini ditujukan kepada pelajar tinggatan 3Bestari, Mohd Azlan bin Akmal. Sila datang ke pejabat sekarang juga.’ Pengumuman itu mematikan lamunan aku. Aku segera berlari ke bilik guru. Sesampainya aku disana, aku lihat ayah dengan wajah yang serius berbual dengan guru besar.
“Azlan, jom ikut ayah balik nak.” Hati aku makin tidak tenteram. Tanpa banyak berbicara, aku mengikuti ayah ke teksinya. Kulihat adik sudah ada di dalam teksi. Hati aku bingung. Pelbagai persoalan ingin kuutarakan kepada ayah bagi menghilangkan gundah gulana di hati ini. Namun, melihat ayah diam seribu bahasa dengan muka yang suram, aku membatalkan niatku. Kulihat mata ayah merah dan berkaca. Ayah menangis?. Seumur hidupku, aku tidak pernah melihat wajah lelaki disebelahku ini menangis. Perasaan aneh aku makin meningkat apabila ayah membelokkan teksinya memasuki simpang ke kiri.
“Ayah nak kemana ni yah? Rumah kita kan sebelah sana?” Tanya adik sambil menunding jari kearah kanan jalan.
“Abang, adik. Kita nak ke hospital, nak. Ibu sakit.” Mendengar jawapan ayah, aku terpaku. Ibu sakit? Seperti mimpi. Selama ini ibu sihat-sihat belaka. Cuma sejak kebelakangan ini ibu sering batuk-batuk. Bila ditanya, ibu cakap ibu batuk biasa sahaja. Sebagai anak, aku mendoakan yang terbaik untuk ibu. 
Sesampainya di hospital, aku dan adik meluru masuk ke ruang yang menempatkan ibu. Ayah mengikuti dari belakang. Alangkah terkejutnya aku melihat sekujur badan ditutupi kain putih. Hati aku terdetik sesuatu perkara yang amat aku takuti. Kematian!. Namun aku cuba nafikan yang itu bukan ibuku. Kata ayah, ibu sakit. Bukan meninggal!. Aku berpaling kebelakang.
“Ayah, kat mana wad ibu?.Abang dengan adik nak tengok ibu.”
“Inilah wad ibu. Ibu…ibuu..ibu dah tak ada. Ibu dah tinggalkan kita.” Sejurus itu, bercucuran airmata ayah. Aku dan adik menerpa kearah tubuh kaku diatas katil itu. Tidak kusangka ibu yang sebelumnya cergas bergerak kesana sini kini hanya kaku di katil. Aku dan adik menangis teresak-esak. Kini ibu sudah pergi buat selama-lamanya. Ibu takkan pulang ke rumah lagi. Tiada lagi peluk cium ibu selepas ini. Ibu pergi terlalu awal. Aku dan adik masih perlukan kasih sayang ibu. 15tahun ibu menjaga aku, aku belum pernah membalas jasa ibu. Aku tidak sempat membuatkan ibu berbangga dengan diri ini.
Segala urusan pengkebumian ibu berjalan dengan lancar. Ketika ingin mengebumikan ibu, adik yang mungkin masih belum mengerti hakikat ini menangis semahu-mahunya melihat ibu tersayang dikambus dengan tanah. Aku juga mahu meraung disitu. Tapi melihat wajah ayah yang tenang sejak tadi, aku kuat. Seandainya aku yang 15tahun hidup bersama ibu merasa kehilangan itu, apatah lagi ayah yang sudah hampir 20tahun hidup bersama ibu. Tentu ayah lebih terluka. Ketika semua orang kampung yang menguruskan jenazah ibu pulang, aku masih menemani ibu di tanah perkuburan itu. Aku ingin berdua-duaan dengan ibu.
“Ibu, abang nak temankan ibu nih. Ibu dengarkan? Ibu, kenapa ibu tinggalkan kami? Ayah, abang dan adik ada buat salahkah, bu? Kami semua sayangkan ibu. Kenapa ibu tak bagitau abang ibu sakit? Anak ibu ni boleh jaga ibu. Ibu, ibu nampakkan anak-anak ibu menangis tengok tubuh ibu kaku?. Ibu nampakkan ayah sangat merasa kehilangan ibu?. Ibu nampakkan tadi adik marah orang kampung sebab letak tanah atas badan ibu?. Ibu nampak kan semua tu? Ibu, nanti siapa nak masak untuk kami? Siapa nak sediakan sarapan pagi untuk kami? Siapa nak jaga sakit demam kami? Tangan siapa yang abang dan adik nak salam selain dari ayah?. Ibu, abang tahu Allah sayangkan ibu. Sebab tu Dia ambil ibu kan? Tapi kami pun sayangkan ibu jugak. Ibu, ibu ingat tak malam sebelum ibu pergi tinggalkan kami, ibu masuk ke bilik abang. Waktu tu pukul 12.00a.m. Ibu ingatkan? Ibu kejutkan abang. Tak pernah-pernah ibu buat macam tu sebelum ni. Waktu tu, ibu pesan kat anak ibu ni supaya belajar rajin-rajin. Ibu suruh anak ibu ni jaga ayah dan adik. Ibu pesan lagi walau apa pun yang terjadi, jangan sesekali lupakan Allah. Ibu ingat tak semua tu bu?. Rupa-rupanya itu pesanan terakhir ibu. Insyaallah bu, abang tak kan lupa semua pesanan ibu tu. Ibu, abang pulang dulu ya. Ayah dan adik mesti tunggu abang kat rumah. Esok abang datang lagi ya bu. Maafkan semua kesalahan yang pernah abang dan adik lakukan sepanjang hayat ibu. Assalamualaikum ibu.” 

No comments:

Post a Comment