search

Friday 19 August 2011

~Begitukah Takdirnya~ ::part 2::

Semenjak pemergian ibu, rumah terasa kosong sekosongnya hati dan jiwaku. Namun, aku redha dengan semua ketentuan ini. Sesungguhnya aku tidak layak sama sekali mempersoalkan urusan Allah. Dia maha tahu segala-galanya. Jika dulu ibu membantu menambah pendapatan keluarga, kini tanggungjawab itu dipikul sepenuhnya oleh ayah. Ayah bekerja keras untuk membesarkan aku dan adik. Ayah selalu kerja siang dan malam.
Dua tahun berlalu. Selepas tamat tingkatan 5, aku tidak lagi meneruskan pelajaranku. Biarpun ayah berkali-kali memujuk aku, aku tetap dengan keputusanku. Padaku, biarlah adik sahaja yang meneruskan pelajarannya. Lagipun bukan aku tidak tahu yang ayah tidak mempunyai wang secukupnya untuk menampung pelajaranku nanti. Jadi, biarlah aku membantu ayah mengumpul wang untuk keluarga kami. Menyedari diri tidak mempunyai pendidikan yang tinggi, aku melakukan kerja-kerja kampung sahaja seperti menolong di kebun milik orang kampung. Walaupun pendapatan tidak sebesar mana, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban ayah. Kata orang, ayah bertuah sebab mempunyai anak yang rajin seperti aku. Iya, aku akuinya sehinggalah pada suatu hari aku mengambil keputusan untuk ke Kuala Lumpur atas pujukan rakan-rakan sebaya.
“Weyh Lan, minggu  depan kitorang ingat nak pergi Kuala Lumpur. Cari kerja kat sana. Kau nak ikut tak?”. Ajak Mail, teman sekampungku.
“Kuala Lumpur? Kerja apa sangat yang aku boleh buat? Lagipun, aku tak sampai hati nak tinggalkan ayah dan adik aku tu.’
“Macam-macam kerja kau boleh buat kat sana nanti. Berapa sen sangat kau boleh dapat kerja kat kampung ni Lan?. Kat KL nanti, boleh la kau dapat duit lebih sikit untuk sara keluarga kau tu.”
“Yelah, nanti aku fikirkan.”
Setelah mendapat izin ayah, sampai juga aku di ibu kota itu. Di sana, aku tinggal dirumah sepupu Mail. Ternyata orang kurang pendidikan seperti aku, amat susah untuk mendapatkan pekerjaan. Namun, kata arwah ibu, rezeki ada di mana-mana. Akhirnya, aku bekerja di kedai motor milik Uncle Ramu. Tugas aku membaiki motor yang rosak. Aku juga mengambil upah mencuci kereta. Begitulah kehidupan seharian aku. Kehidupan di Kuala Lumpur bukan seperti di kampung. Semuanya bermain dengan wang. Gaji aku hanya cukup-cukup makan sahaja.     Kalau ada lebih, barulah aku kirimkan ke kampung. Di sana juga, aku mengenali ramai kawan pelbagai ragam.
Hampir setahun bekerja di sana, kewanganku semakin kukuh. Ini semua gara-gara Awie. Awie banyak membantu aku. Aku mengenali pemuda itu ketika dia datang ke kedai tempat aku bekerja untuk membaiki motor. Di situlah detik perkenalan kami. Awie menawarkan aku bekerja dengannya. Katanya, tolong dia hantar barang. Aku yang baru setahun jagung mengenali dunia luar ini terus menerima tawaran itu. Semua itu aku lakukan untuk ayah dan adik di kampung. Bekerja dengan Awie amat pelik kurasakan. Mudah dan senang. Aku hanya perlu menghantar barang kepada pelanggan dan mendapat gaji yang banyak. Akhirnya aku tahu bahawa bungkusan yang aku hantar selama ini adalah dadah dan pil-pil yang diharamkan. Namun, memikirkan habuan yang aku dapat, aku meneruskan kerja aku itu. Aku alpa. Aku makin asyik dengan duniaku. Aku gelap mata dengan limpahan wang. Pergaulan aku semakin bebas. Sejadah yang dulunya tempat aku memohon doa kini tidak lagi aku sentuh. Jika dulu lebih 5waktu aku solat, kini 1waktu pun susah untuk aku tunaikannya. Aku tidak lupa mengirimkan wang di kampung. Kadang kala, aku pulang melawat ayah dan adik.
Lama-kelamaan, tindakan aku semakin berani. Terpengaruh dengan keadaan sekeliling dan perasaan ingin mencuba, aku mula mengambil serbuk putih itu. Mengenali benda alah itu, kurasakan hidup aku makin bahagia. Bagai tiada masalah dikepalaku. Kehidupan sosial aku semakin menjadi-jadi. Disko sudah menjadi rumah keduaku. Banyak duit aku habiskan disitu. Air yang diharamkan oleh islam itu sudah menjadi sebahagian dalam tubuh badanku. Banyak duit juga aku bazirkan untuk mendapatkan benda putih itu. Wang yang aku kirimkan ke kampung semakin hari semakin sikit. Kadang-kadang, langsung tidak kukirimkan. Aku seperti lupa akan dua insan yang masih punya hubungan kekeluargaan denganku.


No comments:

Post a Comment